Tanah runtuh: Jumlah sebenar mangsa 92 orang, seorang kanak-kanak masih hilang

Tanah runtuh: Jumlah sebenar mangsa 92 orang, seorang kanak-kanak masih hilang

JUMLAH sebenar mangsa tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong, adalah 92 orang, bukan 94 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata berlaku kekeliruan mengenai jumlah mangsa pada peringkat awal dan setelah semakan pihaknya berpuas hati jumlah sebenar adalah 92 orang.

“Ia berdasarkan rekod daftar di pusat perkhemahan dan selepas kita buat semakan beberapa kali kita rumuskan bahawa jumlah rasmi sebenarnya adalah 92 orang, iaitu kurang dua orang daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini.

“Setakat ini, yang ditemui meninggal dunia adalah seramai 30 orang, selamat (61) dan seorang lagi mangsa belum ditemui,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, kekeliruan berhubung jumlah sebenar mangsa sudah dikesan sejak beberapa hari lalu, namun semakan demi semakan perlu dilakukan terlebih dahulu untuk kepastian.

Dalam pada itu, katanya, identiti seorang lagi mangsa yang belum ditemui itu sudah pun dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan.

“Mangsa yang masih hilang adalah seorang kanak-kanak lelaki,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut. – Malaysiapost

Komen