Tidak perlu darurat iklim pada masa ini – Saifuddin Nasution

Tidak perlu darurat iklim pada masa ini – Saifuddin Nasution

DARURAT iklim tidak perlu diisytiharkan pada masa ini berikutan situasi banjir masih terkawal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengisytiharan itu perlu dinilai dan dibuat oleh pihak bertanggungjawab sebelum sebarang keputusan dilakukan apabila tiba masanya.

“Buat masa ini saya fikir keseluruhan operasi terkawal serta berjalan baik.

“Laporan secara berkala turut diberikan termasuk semalam ketika mesyuarat Jemaah Menteri yang mana Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab memberi laporan yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pasir, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan pengisytiharan darurat iklim untuk membendung dan mengurangkan risiko banjir yang sedang melanda negara terutama di Pantai Timur.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya telah menyediakan tambahan tiga aset udara kepada Kelantan dan Terengganu.

“Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution meminta mangsa yang terbabit dengan banjir memberi kerjasama kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas.

“Sekiranya diminta untuk berpindah segera, mangsa banjir perlu akur dan jangan berlengah kerana ia boleh mengancam nyawa,” katanya. – Malaysiapost

Komen