Tidak wajar Hadi remehkan ibadah muslim lain demi laba politik peribadi

Tidak wajar Hadi remehkan ibadah muslim lain demi laba politik peribadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya meremehkan ibadah seorang muslim demi memperoleh laba politik peribadi.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata isu takfir, meremehkan ibadah dan iman muslim yang lain hanya akan memecah belahkan umat Islam dengan lebih buruk.

“Sesungguhnya saya kecewa dengan ucapan terbaru Abdul Hadi kepada bakal jemaah haji dan umrah.

“Ini sebenarnya pernah terjadi akibat daripada ucapan Abd Hadi sendiri yang mengkafirkan musuh politik dan kemudiannya menyebabkan sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan sesama Islam, tidak sembahyang jenazah berlainan fahaman politik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi memberi pesanan khusus kepada bakal jemaah haji dan umrah dengan mengingatkan mereka terhadap kewajipan mengundi dalam pilihan raya.

Sebaliknya, menurut beliau, kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia dikerah untuk mengundi bagi mendapatkan kuasa dengan menyokong DAP dan kumpulannya walaupun mereka terpaksa mengeluarkan belanja sendiri.

“Keadaan ini dibimbangkan, mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT,” menurut Abdul Hadi.

Dalam pada itu, Shaiful Hazizy berkata, beliau meminta Abdul Hadi tidak mengeluarkan kenyataan terlalu ekstrem dan mampu membawa kepada salah faham dan pembacaan politik yang agak merbahaya.

“Pada pendapat saya, mengundi hanyalah ijtihad politik. Pengundi memilih pemimpin mengikut dasar yang disukai mereka. Tidak lebih daripada itu.

“Malah Islam terbela dan dijulang dengan pentadbiran pusat dakwah, masjid, pusat zakat, lembaga tabung haji adalah antara pentadbiran yang bertaraf dunia malah dipuji oleh rakan-rakan negara Islam yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati Ahli Parlimen Marang berkenaan supaya berhenti daripada membakar sentimen keagamaan.

“Apa salahnya jika kita menyarankan kepada bakal haji dan umrah kita supaya mendoakan supaya kebajikan rakyat Malaysia dijaga, taraf hidup ummah dinaikkan serta Islam dijulang di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen