12 Anugerah World Muslimpreneur bakal iktiraf usahawan muslim

12 Anugerah World Muslimpreneur bakal iktiraf usahawan muslim

SEBANYAK 12 anugerah diperuntukkan untuk mengiktiraf usahawan muslim dalam majlis Anugerah World Muslimpreneur yang bakal diadakan buat julung-julungnya kalinya pada 23 Januari tahun depan.

Ahli Lembaga Pengarah Sekretariat World Muslimpreneur, Profesor Adjung Adam Richman berkata, anugerah berkenaan dianjurkan bagi mengiktiraf, meraikan serta menghargai usahawan serta jenama milik perniagaan Muslim di Malaysia.

“Sepanjang tahun 2020 hingga tahun 2022, dunia diuji dengan pandemik sekaligus menyaksikan impaknya sangat besar terhadap semua cabang ekonomi serta industri.

“Namun begitu, apabila di lihat dari sudut positif, era pandemik telah melahirkan golongan usahawan yang berdaya tahan serta lebih pragmatik dalam memastikan survival perniagaan serta jenama mereka,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Justeru, Adam Richman menjelaskan, Anugerah World Muslimpreneur dianjurkan bagi mengiktiraf usahawan serta jenama milik perniagaan Muslim yang telah membuktikan kemampuan serta daya saing mereka di dalam setiap cabang industri sepanjang era pandemik ini sekaligus menjadikan mereka antara pernigaan serta jenama yang terus berkembang sehingga ke hari ini.

Katanya, penganjuran majlis anugerah ini adalah suatu ruang dan peluang bagi usahawan serta jenama milik Muslim mendapat pengiktirafan sewajarnya atas usaha serta kejayaan mereka dalam sektor ekonomi serta industri yang mereka ceburi.

“Sebenarnya, perniagaan serta jenama milik Muslim telah lama menjadi tunjang utama kepada pengukuhan serta peningkatan ekonomi dunia secara umumnya, serta Malaysia secara khususnya. Namun, mereka tidak mendapat pengiktirafan serta penghargaan yang sewajarnya. Justeru, dengan penganjuran Anugerah World Muslimpreneur ini, segala penat lelah serta pengorbanan mereka akhirnya akan mendapat perhatian yang sewajarnya”, ujarnya ketika ditemui wartawan semalam.

Sementara itu, pencalonan untuk Anugerah World Muslimpreneur masih lagi dibuka untuk Usahawan Muslim serta jenama milik Perniagaan Muslim di laman sesawang rasmi www.worldmuslimpreneur.com.

Sebarang pertanyaan lanjut, Sekretariat World Muslimpreneur boleh dihubungi melalui talian Hotline 019 777 2180. -Malaysiapost

Komen