Jumlah mangsa banjir di Terengganu makin menurun

Jumlah mangsa banjir di Terengganu makin menurun

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan dengan merekodkan 25,895 orang pada pagi ini, berbanding 26,484 malam tadi.

Sebanyak 181 pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan bagi menempatkan 6,844 keluarga dari seluruh daerah yang terjejas banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), dalam kenyataan berkata tiga daerah menunjukkan pertambahan mangsa banjir iaitu Kuala Terengganu (2,503), Kuala Nerus (3,561) dan Dungun (5,201), setakat jam 8 pagi tadi.

Katanya, tiga daerah yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa banjir antara yang tertinggi menunjukkan penurunan iaitu Kemaman (5,439), Besut (4,309) dan Hulu Terengganu (3,567)

Sementara itu, dua daerah lagi iaitu Setiu, dan Marang tidak merekodkan perubahan dengan mencatatkan seramai 1,118 dan 197 mangsa.

Menurut kenyataan itu, keadaan cuaca diramal semakin baik di seluruh Terengganu namun masih terdapat hujan di beberapa kawasan. – Malaysiapost

Komen