Khairuddin puji layanan baik Kerajaan Perpaduan terhadap negeri pembangkang

Khairuddin puji layanan baik Kerajaan Perpaduan terhadap negeri pembangkang

JAMBATAN persaudaraan antara orang Melayu dan Islam mesti terus bersambung meskipun berbeza ideologi dan lambang parti.

Bekas pemimpin PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyambut baik layanan kemesraan dan keharmonian yang ditonjolkan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dengan kepimpinan negeri diterajui pembangkang di Kelantan dan Terengganu, baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata, sebab itulah dalam berpolitik usah dibakar jambatan persaudaraan kerana kita saling memerlukan.

“Apabila kita berbeza pandangan dan saling mengkritik bukan bermakna kita membenci individu. Ia hanyalah dalam ruang-lingkup saling menasihati kerana tiada sesiapa maksum dan terpelihara dari silap.

“Begitu juga politik mesti juga berakademik yang boleh berbeza. Tinggal lagi yang memagarnya adalah akhlak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Mohd Khairuddin turut berkongsi hantaran Facebook, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyambut baik hubungan yang ditunjukkan Kerajaan Perpaduan dengan Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin PAS dalam misi bantuan banjir kepada rakyat negeri itu, kelmarin.

“Tahniah YAB PM serta pimpinan Kerajaan Perpaduan yang turun lagi menyantuni rakyat Kelantan dan tahniah kepada YAB MB Kelantan serta pimpinan Kelantan,” katanya.

Terdahulu, Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang meninjau situasi perkembangan bencana banjir di Kelantan.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, takdir telah menentukan Umno dan PAS tidak bersama dalam satu kerajaan walaupun sebelum itu telah berusaha mencari titik persamaan antara kedua-dua parti terbabit.

“Hasrat berpadu dan bekerjasama antara dua parti Islam Melayu Umno dan PAS adalah hasrat akar umbi dan ramai pimpinan.

“Cuma kita gagal menyelaraskan pandangan pada saat akhir dan berlaku pertembungan yang panas antara pimpinan tertinggi apabila kita berbeza lalu diikuti oleh pengikut.

“Pasca PRU sepatutnya kita kembali bekerjasama meskipun berbeza. Tentulah Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab menyatu-padukan semua rakyat,” katanya. -Malaysiapost

Komen