Laungan azan berkumandang lagi di lokasi tanah runtuh

Laungan azan berkumandang lagi di lokasi tanah runtuh

USAHA mencari seorang lagi mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di Jalan Genting-Batang Kali dilakukan sekali lagi dengan laungan azan.

Kementerian Pertahanan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pelbagai ikhtiar digunakan pasukan penyelamat bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih hilang.

“Tiada istilah putus asa. Pelbagai ikhtiar digunakan dalam usaha pencarian mangsa tanah runtuh Batang Kali yang memasuki hari kelapan.

“Anggota pasukan Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAJD), Prebet Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan dan seterusnya membaca doa sebelum gerak kerja disambung,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bermula jam 8 pagi tadi selepas dihentikan sementara susulan hujan lebat, petang semalam.

Semalam, empat mayat terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta dua kanak-kanak, masing-masing lelaki dan perempuan, ditemui jam 11.04 pagi di Sektor C (Riverside).

Semua mangsa yang disahkan sekeluarga ditemui dalam satu bungkusan khemah pada kedalaman tujuh meter.

Seramai 92 individu terbabit dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu, dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 disahkan terkorban dan seorang lagi masih hilang. – Malaysiapost

Komen