Menteri Besar ziarah PPS pada hari kelima Terengganu dilanda banjir

Menteri Besar ziarah PPS pada hari kelima Terengganu dilanda banjir

SETELAH menerima kecaman kerana bercuti di luar negara, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau mangsa banjir di salah satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS), hari ini.

Menerusi siaran langsung (live) di Facebook rasminya, Ahmad Samsuri melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, di Kemaman.

Bagaimanapun, beberapa komen nakal singgah di ‘live’ tersebut yang mengucapkan ‘selamat pulang’ kepada Ahmad Samsuri.

Ia kerana, kelibat Menteri Besar baru kelihatan pada hari kelima negeri tersebut dilanda bencana banjir besar sejak Isnin lalu.

“Baru nampak muka MB. Kalau tidak musim ni asyik live. Banjir besar lepas dah. Hari kelima baru nampak MB,” kata Muhammad Aiman.

“Alhamdulillah, mujur masih ada mangsa banjir di PPS,” kata Mudim Ahmad.

Dalam ruangan komen juga, ada warga maya yang mempertahan Ahmad Samsuri, yang dikatakan keberadaannya di luar negeri kerana menghadiri konvokesyen anaknya.

“MB pergi majlis konvokesyen anak dia.. kalau kita ada anak pun turun serta mahu rai anak,” ujar Izzati Ahmad.

Sebelum ini, ketiadaan Ahmad Samsuri meninjau situasi banjir di Terengganu menjadi tanda tanya ramai pihak.

Media melaporkan Menteri Besar Terengganu itu didakwa berada di Auckland, New Zealand bercuti bersama keluarga.

Beliau dilaporkan pulang ke Malaysia semalam namun ketibaan Ahmad Samsuri tidak dapat dipastikan. – Malaysiapost

Komen