MINDEF tambah aset di negeri kerap dilanda banjir

MINDEF tambah aset di negeri kerap dilanda banjir

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) bersedia untuk menambah aset di kem tentera di Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan yang sering terjejas banjir saban tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penempatan aset tersebut khususnya trak tujuh tan dan bot bertujuan melicinkan lagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir negeri berkenaan.

“Itu boleh diberi pertimbangan kerana negeri-negeri Pantai Timur ini memang terkesan banjir setiap tahun. Kekuatan anggota dan aset perlu ditambah.

“Begitu buat masa ini, kita merasakan mobilisasi aset dan anggota (dari negeri-negeri lain) tiada masalah dan tidak memakan masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, Manir di Terengganu, hari ini.

Mohamad memberitahu, setakat ini, anggota dan aset dari Markas 4 Briged di Kuantan, Pahang telah dikerahkan untuk menampung keperluan operasi banjir di Terengganu.

Jelasnya, ia disebabkan situasi banjir di Pahang pada masa ini tidak kritikal berbanding Terengganu dan Kelantan.

Setakat pagi tadi, Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 24,738 mangsa daripada 6,633 keluarga direkodkan berlindung di 174 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ia diikuti Kelantan dengan 24,690 mangsa daripada 7,709 keluarga di 75 PPS. – Malaysiapost

Komen