‘Saya tetap Umno dulu, kini dan selamanya’ – Hishammuddin

‘Saya tetap Umno dulu, kini dan selamanya’ – Hishammuddin

BENDAHARI Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan beliau akan tetap bersama Umno dulu, kini dan selamanya.

Menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya, Ahli Parlimen Sembrong itu berkongsi pendirian dan hala tuju politiknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Bagi saya mudah, saya tetap Umno dulu, kini dan selamanya. Saya tidak akan kemana.

“Mereka yang cakap-cakap di luar sana hanyalah usaha memburuk-burukkan dan menidakkan saya,” katanya dalam video pendek berkenaan.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, perjalanan karier politiknya tidak mudah termasuk di peringkat awal lagi ketika di Cawangan Umno Sungai Mati Bahagian Ledang.

Malah, beliau melihat perjalanan yang lebih sukar akan ditempuh pada masa hadapan susulan kekalahan teruk BN pada PRU15 lalu.

“Jalan kedepan ini tidak akan senang. PRU15 BN kalah teruk hanya dapat 30 kerusi sahaja satu keputusan yang sepatutnya menginsafkan dan menyedarkan kita semua khususnya warga Umno dan BN.

“Sesungguhnya kita perlu lakukan penambahbaikan dan (melakukan) apa jua pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan kita ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan Umno dan BN sekiranya ingin memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti.

“Kita tidak boleh salah langkah lagi. Memandangkan sekarang ada sedikit lebihan masa (saya) tidaklah sesibuk sebelum ini. InsyaAllah masa yang ada ini saya akan gunakan dengan sebaik mungkin demi kelangsungan dan masa depan parti.

“Buat ahli akar umbi, nasihat saya ialah bulatkan tekad, rapatkan barisan dan sama-sama kita lihat ke hadapan demi masa hadapan dan kelansungan perjuangan. Sedar dan insaflah kita semua orang perjuangan,” katanya.

Pada PRU15, Hishammuddin berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong dengan meraih sebanyak 22,572 undi. – Malaysiapost

Komen