Selepas Sarawak, King Laksa sasar luaskan empayar di Semenanjung, Sabah

Selepas Sarawak, King Laksa sasar luaskan empayar di Semenanjung, Sabah

HASRAT awal sekadar membantu suami akhirnya membuahkan minat pemilik empayar perniagaan King Laksa Sarawak, Nur Alya Mona Jikim, 38, untuk serius membina masa depan dalam dunia makanan dan minuman (F&B).

Anak jati Sarawak itu enggan menoleh ke belakang dalam mengangkat jenama makanan berkenaan yang diusahakan sejak tahun 2017.

Malah, kini jenama makanan itu sudah mempunyai dua cawangan restoran di Kota Samarahan dan ICOM Square.

“InsyaAllah cawangan ketiga akan dibuka Januari tahun depan di Metro City, Matang, Kuching.

“Malah sebelum itu, kami bangkit di era pandemik Covid-19 dengan penuh optimis membuka cawangan kedua di ICOM Square. Permintaan dan peningkatan jualan juga mendadak naik ketika itu.

“InsyaAllah fokus lima hingga 10 tahun ke depan lagi, kami bercadang membuka beberapa lagi cawangan di bandar besar di sini. Setiap cawangan juga disasarkan mendapatkan keuntungan RM4 juta setahun,” katanya.

Nur Alya Mona berkata, beliau bercadang meneroka peluang dengan melebarkan francais atau perlesenan bagi penambahan cawangan di Sarawak.

“Lima tahun mendatang juga, kami bercita-cita membuka cawangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Katanya, jangkaan pada tahun 2024 empayar perniagaan miliknya akan dibuka di Bangsar, Kuala Lumpur, dan dalam masa sama mengintai peluang untuk membuka cawangan di luar negara. – Malaysiapost

Komen