Shahrir didakwa walaupun kertas siasatan tidak lengkap – Saksi

Shahrir didakwa walaupun kertas siasatan tidak lengkap – Saksi

MESKIPUN kertas siasatan (IP) masih tidak lengkap namun Tan Sri Shahrir Abd Samad dibenarkan untuk didakwa di mahkamah.

Perkara itu didedah oleh Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nurzahidah Yacop di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang berkata, Tan Sri Tommy Thomas yang menjadi Peguam Negara ketika itu membenarkan Shahrir didakwa di mahkamah. 

Menurutnya, IP berkenaan tidak lengkap kerana pihak berkuasa tidak menyiasat dakwaan tertuduh bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik dan bukannya pendapatan, lapor Malaysiakini. 

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, SPRM pada 2019 hanya menyiasat RM1 juta yang masuk ke akaun Shahrir melalui cek daripada Perdana Nenteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Nov 2013.

Saksi turut mengesahkan Shahrir memberitahu SPRM sebanyak lapan kali semasa siasatan bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik untuk aktiviti politik, dengan tertuduh merujuk kepada banyak transaksi perbankan sebelum ini yang menunjukkan dia mengeluarkan RM2.6 juta untuk kegiatan politik (sebelum RM1 juta itu masuk ke akaun tersebut).

Nurzahidah berkata, apabila dia memaklumkan kepada pihak atasan mengenai dakwaan Shahrir dan sama ada dia perlu meneruskannya, pihak atasan didakwa tidak memberi sebarang maklum balas terhadap perkara itu (IP kemudiannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut).

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Nurzahidah berkata pada 15 Jan 2020, dia menerima semula IP daripada anggota pendakwaan, dengan persetujuan yang ditandatangani daripada Thomas untuk mendakwa Shahrir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi).

Thomas dilantik sebagai AG ketika pentadbiran kerajaan PH pada 2018. 

Bagaimanapun, dia meletakkan jawatan pada Feb 2020 berikutan Langkah Sheraton yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN ketika itu. Tugasnya kemudian diambil alih oleh Tan Sri Idrus Harun.

Terdahulu, apabila Syed Faisal menunjukkan Nurzahidah penyata-penyata bank berhubung aliran keluar lebih RM2.6 juta daripada akaun Shahrir sebelum kemasukan RM1 juta itu, saksi itu berkata dia tidak diberikan dokumen berkenaan semasa siasatannya pada 2019.

Apabila peguam bertanya sama ada adalah adil untuk SPRM tidak menyiasat transaksi bank sebelum kemasukan RM1 juta itu, saksi berkata ia tidak adil. -Malaysiapost

Komen