Tidak salah kalau hidup hanya menyewa rumah – Zulkifli

Tidak salah kalau hidup hanya menyewa rumah – Zulkifli

TAK semestinya kena beli rumah sebab dengan menyewa rumah juga kita boleh hidup dengan selesa, demikian kata pelakon Zulkifli Ismail.

Pelakon berusia 59 tahun itu berpendapat, tidak salah kalau hidup hanya menyewa rumah.

“Itu menurut pandangan saya. Saya hidup selama 38 tahun tinggal di rumah sewa sejak belum berkahwin lagi,” katanya dipetik Mstar, hari ini.

Terdahulu, Zulkifli tidak menyangka perkongsiannya mengenai rumah sewa yang didiami di Cheras, Kuala Lumpur menarik perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

Dia telah memuat naik hantaran di Instagram kerana ingin berkongsi kesedihan terpaksa meninggalkan rumah yang disewa sejak 32 tahun lalu.

Bagaimanapun hantarannya itu mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mempersoalkan tindakannya tidak membeli kediaman sendiri.

Menurut Zulkifli, dia lebih mengutamakan keperluan keluarga berbanding mengikut kata-kata dan kehendak orang lain.

Katanya, tidak semestinya kena beli rumah sebab dengan menyewa rumah juga kita boleh hidup dengan selesa.

“Saya beri keutamaan pada perbelanjaan kesihatan dan pelajaran anak-anak. Semua orang memang nak beli rumah, tapi tengok juga kemampuan masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenainya, Zulkifli berkata, sebagai pelakon, pastinya memberi sedikit kesukaran untuk dia membuat pinjaman bank bagi membeli rumah.

Jelasnya, sumber pendapatan yang tidak tetap menjadi penyebab utama masih ramai dalam kalangan selebriti terutamanya artis veteran masih belum mempunyai kediaman sendiri.

“Ramai orang tak faham, artis tak boleh buat pinjaman bank. Saya tak salahkan bank kerana itu memang prosedur mereka.

“Saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan yang saya tahu, ramai juga artis veteran tidak mempunyai rumah sendiri kerana masalah seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli turut berkongsi pengalamannya yang bagai menatang minyak yang penuh terhadap rumah sewanya itu.

Jelasnya, dia menjaga rumah itu seperti kediamannya sendiri serta tidak pernah berkira sekiranya perlu menukar atau memperbaiki barangan yang rosak.

“Saya menyewa rumah itu selama 32 tahun… saya menjaganya seperti rumah sendiri. Saya tidak pernah minta claim pada tuan rumah sekiranya melakukan kerja-kerja penukaran paip atau mentol.

“Kalau nak cat pun, saya cat sahaja tanpa meminta potongan bayaran sewa. Saya rasa itu membuatkan tuan rumah selesa kerana penjagaan baik yang dilakukan kami sekeluarga,” katanya.

Kini, Zulkifli dan keluarganya telah berpindah ke sebuah rumah di Kajang yang telah dibeli sejak 2009.

Dia turut meluahkan rasa syukur kerana isterinya yang bekerja sebagai seorang guru telah membeli rumah itu.

Mereka telah mengambil keputusan untuk berpindah terus ke kediaman itu memandangkan isterinya kini ditugaskan mengajar di sebuah sekolah di Kajang. -Malaysiapost

Komen