Gangguan bekalan air di 472 kawasan di Lembah Klang

Gangguan bekalan air di 472 kawasan di Lembah Klang

SEBANYAK 472 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi tadi.

Gangguan tersebut susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan daerah Sepang akan melibatkan sebanyak 196 kawasan terjejas.

“Daerah lain yang turut terjejas bekalan adalah Petaling iaitu sebanyak 172 kawasan diikuti Hulu Langat (54).

“Selain itu, daerah Putrajaya dan Kuala Langat pula masing-masing melibatkan 23 serta 27 kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium terutama media massa.

“Para pengguna boleh merujuk di saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan turut boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

Dalam pada itu, pengguna di kawasan terjejas dinasihatkan menyimpan air secukupnya sehingga bekalan air dapat disalurkan. – Malaysiapost

Komen