Jadikan Dewan Rakyat benar-benar mulia – Wan Saiful

Jadikan Dewan Rakyat benar-benar mulia – Wan Saiful

DEWAN Rakyat perlu menjadi Dewan yang benar-benar mulia untuk dasar serta cadangan dibahas secara rasional dan matang, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu, menyuarakan rasa kesal dengan akhlak segelintir Ahli Dewan Rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Wan Saiful mengakui kali pertama menyertai persidangan itu, beliau sangat terkejut dengan kelakuan Ahli Parlimen berkenaan yang tidak menghormati Dewan.

“Merenung kembali hari pertama saya menyertai persidangan Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022, tidak dapat dinafikan saya kesal dengan akhlak yang ditunjukkan oleh segelintir Ahli Dewan Rakyat PH.

“Saya betul-betul terkejut apabila YB-YB dari PH tiba-tiba bangun menjerit, memekik dan melolong tak bertempat. Saya rasa YDP (Yang Dipertua) Dewan Rakyat yang baru pun tak menyangka bahawa suasana Dewan akan menjadi begitu.

“Sehingga beliau terpaksa memberi amaran kepada YB-YB PH itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, beliau ke Dewan Rakyat dengan harapan menggunung mahu ia menjadi tempat untuk dasar dan cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matang.

“Saya yakin bahawa generasi baru politik Malaysia secara umumnya mahukan politik yang lebih matang dan sihat.

“Tetapi sikap beberapa Ahli Parlimen PH menyebabkan saya bimbang apa yang akan berlaku dalam politik Malaysia masa depan.

“Dalam Dewan, mereka menjerit-jerit menghalang perbahasan, di luar Dewan mereka menyaman kiri dan kanan untuk menghalang kritikan,” katanya.

Beliau mengesa agar semua Ahli Dewan Rakyat berbahas secara mulia dengan membawa idea secara mulia dan mengkritik lawan juga secara mulia.

“Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, bilangan generasi baru yang mengundi adalah tinggi. Generasi baru ini sedang memerhati. Jangan kecewakan harapan mereka,” katanya.

Hari Pertama Sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu, menjadi kecoh apabila wakil rakyat mempertikaikan pembentangan usul percaya kepada Perdana Menteri yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pertikaian yang berlarutan sehingga sesi perbahasan usul itu turut menyaksikan beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengeluarkan perkataan tidak berparlimen, ‘bodoh’, ‘beruk’ serta ‘penyamun’. – Malaysiapost

Komen