Kemalangan lori punca bekalan air LRA Semenyih tercemar – LUAS

Kemalangan lori punca bekalan air LRA Semenyih tercemar – LUAS

TUMPAHAN cecair daripada kemalangan lori yang membawa muatan pati minyak wangi di Kilometer (KM) 44.1, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan menjadi punca Rawatan Air (LRA) Semenyih di henti tugas, hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, jarak lokasi kemalangan berkenaan ke LRA Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer (km).

Menurut LUAS, tindakan segera membersihkan kesan tumpahan tersebut kini sedang giat dilakukan bagi membolehkan operasi LRA diaktifkan semula.

“LUAS juga telah mengaktifkan pemantauan rapi di sepanjang aliran sungai dari kawasan kemalangan ke LRA bagi memastikan aliran pencemaran berkenaan dibersihkan sepenuhnya.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi tadi.

Gangguan tersebut susulan henti tugas sementara Loji LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir. – Malaysiapost

Komen