Keputusan wujud semula UPSR, PT3 selepas 2025 – KPM

Keputusan wujud semula UPSR, PT3 selepas 2025 – KPM

KEPUTUSAN mewujudkan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bergantung pada penilaian menerusi pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bakal tamat tiga tahun lagi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan membabitkan kedua-dua peperiksaan itu perlu merujuk kepada fakta dan data yang dikumpulkan sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, kerajaan memahami keprihatinan ibu bapa susulan anak-anak tidak menduduki peperiksaan, namun pihaknya sudah melalui proses sangat panjang sebelum memutuskan untuk memansuhkan UPSR.

“Kita kena bentangkan dahulu hasil laporan PPPM 2025 untuk melaksanakan penambahbaikan sistem pendidikan pada masa akan datang.

“PPPM akan tamat pada 2025 dan laporan terbabit akan menunjukkan keberhasilan melibatkan peperiksaan dan proses pembelajaran anak-anak.

“Tunggu laporan itu dahulu, lihat hasilnya dan sekiranya ada cadangan untuk kembalikan semula peperiksaan, itu semua bergantung kepada laporan pelan tersebut,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung sama ada peperiksan UPSR dan PT3 akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kementerian mahu mengukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) untuk penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan.

“Kalau kita tengok, PBS ini adalah proses ansur maju kanak-kanak, maknanya kita kena lihat secara holistik kerana ia tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.

“Justeru, peranan kita sekarang adalah untuk memperkasakan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik, bukan seperti UPSR atau PT3 yang lebih memfokuskan kepada peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa merungut dan mendesak agar UPSR dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Rata-ratanya mendakwa anak mereka hilang arah tujuan dan prestasi pembelajaran tidak dapat dinilai berikutan tiadanya peperiksaan untuk dihadapi. -Malaysiapost

Komen