Kerajaan tidak berkompromi dengan aktiviti seludup minyak – Menteri

Kerajaan tidak berkompromi dengan aktiviti seludup minyak – Menteri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi agar tidak terbabit aktiviti penyeludupan dan salah guna barang kawalan bersubsidi.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat pembungkusan yang diberi lesen, sekiranya mereka menyeleweng bekalan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat pembungkusan semula minyak masak yang didapati salah guna dan menyeludup barang kawalan bersubsidi ke sempadan.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan bekalan barangan kawalan terutama minyak masak bersubsidi di dalam negara sentiasa mencukupi,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah di Johor Bahru, hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, peniaga kecil yang juga golongan B40 diberikan kelonggaran untuk menggunakan minyak masak paket bersubsidi yang dijual di pasaran.

“Kita juga dapati peniaga kecil yang terbabit industri kecil dan sederhana (IKS) turut membeli minyak masak paket bersubsidi untuk berniaga.

“Mereka yang juga golongan B40 ini, kita berikan kelonggaran untuk gunakan minyak masak paket bersubsidi.

“Malah, satu mekanisme sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peniaga IKS ini dapat menggunakan minyak masak paket bersubsidi,” katanya.

Beliau turut menggesa kepada anggota penguatkuasa kementeriannya agar mengambil langkah mesra rakyat dalam menegur peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan kecil.

“Kita perlu faham, golongan peniaga kecil kini dalam tempoh pemulihan selepas pandemik. Anggota penguatkuasa boleh memberi nasihat dan teguran dahulu sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

“Namun begitu tiada kompromi bagi peniaga yang didapati melakukan aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran,” katanya. – Malaysiapost

Komen