Mayat terakhir ditemui tertimbus bersama beg tidur

Mayat terakhir ditemui tertimbus bersama beg tidur

AKHIRNYA mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali berjaya ditemui hari ini kira-kira pukul 4.53 petang.

Mayat mangsa yang ke-31 itu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk diserahkan kepada Pasukan Pengecam Mangsa Bencana (DVI) sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Sebaik sahaja mayat mangsa ditemui, teriakan kegembiraan bergema dengan tepukan di pekarangan PKOB insiden tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong. .

Semua anggota SAR serta semua jabatan bantuan yang berada di lokasi menzahirkan rasa gembira dan syukur apabila usaha dan kerja keras mereka selama sembilan hari berhasil dan dapat diselesaikan sebaiknya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata, mayat mangsa terakhir itu ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah.

Katanya, lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).

“Ketika anggota SAR membuat kerja pengorekan secara manual di situ, seorang Penguasa Kanan Bomba menjumpai satu ‘sleeping bag’ (beg tidur) dan melihat ada cecair keluar dari ‘sleeping bag’ berkenaan.

“Apabila diperiksa, kita jumpa mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang kita syaki ia adalah mangsa yang dilaporkan masih hilang itu. ‘Sleeping bag’ berkenaan ditemui di bawah timbunan tanah sedalam 1.5 meter,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota. -Malaysiapost

Komen