Penjawat awam takut buka mulut dan dituduh sokong BN – Mohd Razlan

Penjawat awam takut buka mulut dan dituduh sokong BN – Mohd Razlan

KEROSAKAN dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak mudah dibetulkan, ibarat rumah Kehakiman negara terbakar dari dalam, kata Datuk Seri Mohd Razlan Rafii.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, rakyat tidak mengetahui masalah yang berlaku dalam badan kehakiman ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, dan Perdana Menteri selepas itu tidak bertindak membetulkannya.

Katanya, membaca keterangan saksi pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) terhadap perbicaraan pengubahan wang haram membabitkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad, jelas terbukti penjawat awam didalam ketakutan dan kebinggungan.

“Takut kerana akan diambil tindakan terhadap mereka, sekira ketika itu mulut dibuka, akibatnya akan dituduh menyokong Barisan Nasional (BN).

“Malah ramai yang telah ditukar, di berhentikan dan pelbagai tindakan kepada penjawat awam sekira mereka meletakkan proses yang adil kepada satu-satu kes.

“Kes Shahril Samad ini bukanlah bersendiri, ianya melibatkan berpuluh lagi kes-kes yang didakwa tanpa proses siasatan yang adil dan sepatutnya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau juga memetik ayat keterangan saksi iaitu “Ianya bertujuan hanya satu, membawa rakyat kepada pemikiran BN adalah parti korup dan membunuh dengan memburukkan imej Umno”.

Mohd Razlan berkata, saksi-saksi tersebut mungkin tidak akan berbicara sekiranya Dr Mahathir masih Perdana Menteri dan Tommy masih Peguam Negara.

“Kezaliman dan salah guna kuasa waktu Thommy dan Mahathir harus kita berusaha untuk dihentikan, ianya perlukan satu transformasi yang berani.

“Kita mahukan bukti dan cerita dari penjawat awam seperti ini, ramai-ramai bongkarkan dengan harapan, semua yang dizalimi terlepas dari mahkamah dan nama baik mereka sebagai insan dikembalikan seperti sebelum ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan meskipun kertas siasatan (IP) masih tidak lengkap namun mahkamah dibenarkan untuk mendakwa Shahrir.

Perkara itu didedah oleh Penolong Penguasa SPRM, Nurzahidah Yacop di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berkata, Tommy yang menjadi Peguam Negara ketika itu membenarkan Shahrir didakwa di mahkamah.

Menurutnya, IP berkenaan tidak lengkap kerana pihak berkuasa tidak menyiasat dakwaan tertuduh bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik dan bukannya pendapatan.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, SPRM pada 2019 hanya menyiasat RM1 juta yang masuk ke akaun Shahrir melalui cek daripada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak pada 28 November 2013.

Saksi turut mengesahkan Shahrir memberitahu SPRM sebanyak lapan kali semasa siasatan bahawa wang RM1 juta itu adalah bayaran balik untuk aktiviti politik.

Tertuduh merujuk kepada transaksi perbankan sebelum ini yang menunjukkan dia mengeluarkan RM2.6 juta untuk kegiatan politik (sebelum RM1 juta itu masuk ke akaun tersebut). – Malaysiapost

Komen