Remaja maut tertimbus dalam perigi

Remaja maut tertimbus dalam perigi

SEORANG remaja perempuan maut akibat tertimbus tanah semasa menggali perigi bersebelahan rumahnya di Lanchang, Temerloh, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 15 tahun tertimbus di dalam perigi sedalam kira-kira tiga meter selepas dinding perigi runtuh.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada bapa mangsa pada jam 3.34 petang hari sama.

Menurutnya, berdasarkan laporan lelaki itu meminta anaknya berusia 15 tahun untuk masuk ke dalam perigi sedalam kira-kira tiga meter yang baru digali bagi membaiki gelung, namun secara tiba-tiba dinding perigi terbabit runtuh dan menimbus mangsa.

“Mangsa berjaya dibawa keluar dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

“Siasatan terperinci akan dijalankan dan keterangan saksi yang berkaitan akan diambil bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan lebih prihatin terhadap keselamatan anak-anak mereka serta menjauhi kawasan berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini.

“Polis juga ingin mengingatkan kepada orang ramai sekiranya sebarang kemalangan yang disebabkan kecuaian ibu bapa, tindakan boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – Malaysiapost

Komen