Zahid jelaskan punca lantikan Pengerusi Felcra ditangguhkan

Zahid jelaskan punca lantikan Pengerusi Felcra ditangguhkan

PENYELARASAN lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berikutan itu Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk menangguhkan pelantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Felcra.

Katanya, penyelarasan lantikan terbabit akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Penangguhan) itu dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan berkanun, GLC dan syarikat lain di bawah kementerian serta agensi untuk disamaratakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Maka penyelarasan dibuat untuk semua jawatan, bukan hanya satu jawatan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan tengah hari sempena penubuhan Kerajaan Perpaduan di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, lantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Disember lalu, ditangguhkan.

Anwar berkata, pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan oleh Ahmad Zahid, namun wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta GLC.

Jelasnya, beliau tidak pernah menyatakan tidak boleh ada lantikan politik, namun lantikan itu terikat dengan syarat dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan.

Anwar menegaskan, ada kemungkinan untuk beberapa tokoh atau Ahli Parlimen yang ditugaskan kepada badan berkanun atau GLC, namun Kerajaan juga menetapkan kaedah berkaitan tahap keupayaan serta profesional, prestasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan, dan tata kelola yang ditetapkan.

Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Zahid telah mengumumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra itu selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.

Katanya, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam GLC ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan. -Malaysiapost

Komen