100 rumah roboh dipukul ombak, 200 mangsa terjejas

LEBIH 100 rumah roboh dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar berlaku di dua kampung di Sandakan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lebih 200 mangsa dilaporkan terjejas membabitkan Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata dianggarkan 100 rumah roboh di Kampung Forest.

Beliau berkata, sebanyak 500 rumah lain turut terancam dalam kejadian berkenaan.

“Di Kampung Tinusa Dua pula, lima rumah turut roboh dan 20 lagi dilaporkan terancam.

“Namun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, kejadian itu membabitkan lebih 200 mangsa daripada 96 keluarga.

“Semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kebangsaan (SMK) Sungai Anib Dua,” katanya. – Malaysiapost

Foto ihsan APM

Komen