3,000 mangsa banjir di Kelantan dibenar pulang, 10 PPS ditutup

3,000 mangsa banjir di Kelantan dibenar pulang, 10 PPS ditutup

KIRA-KIRA 3,000 mangsa banjir di Kelantan dibenarkan pulang sehingga pukul 4 petang ini.

Serentak itu, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan juga ditutup.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan kini semakin berkurangan kepada 7,148 mangsa, berbanding 10,642 mangsa pagi tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 2,301 keluarga itu ditempatkan di 19 PPS di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.

Berdasarkan Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan, Pasir Mas merekodkan 5,588 mangsa membabitkan 1,769 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Tumpat pula merekodkan 1,560 mangsa daripada 532 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Sementara itu, laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, dua sungai utama di negeri itu masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 9.27 meter (m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu merekodkan 2.74m. – Malaysiapost

Komen