Bawa anak OKU, samun kedai serbaneka

Bawa anak OKU, samun kedai serbaneka

SEORANG bapa tergamak mempergunakan anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) melakukan samun di sebuah kedai serbaneka, di Batu Berendam, Jumaat lalu.

Tindakannya itu bagaimanapun hanya bertahan kurang lima jam apabila penganggur berusia 32 tahun tersebut ditahan kira-kira jam 6 petang di Bukit Piatu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja wanita sebuah kedai serbaneka di Batu Berendam yang memaklumkan premis itu disamun ketika dia sedang bekerja kira-kira pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, wanita terbabit memberitahu disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau dan turut membawa seorang kanak-kanak lelaki.

“Suspek didakwa turut melarikan wang tunai kira-kira RM197 dan tiga kotak rokok bersamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, pasukan dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan pasukan Task Force Balai Polis Batu Berendam digerakkan untuk memburu suspek.

“Suspek berjaya ditahan di Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 6 petang hari yang sama.

“Turut ditahan adalah anak lelakinya sebelum pemeriksaan menemukan turut wang tunai berjumlah kira-kira RM187 dan satu kotak rokok serta pakaian yang dipakai semasa kejadian,” katanya.

Christopher berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga penganggur itu positif dadah dan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

“Suspek direman selama lima hari sehingga 28 Disember ini manakala anak lelakinya dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen