Bekalan air bersih mula disalurkan secara berperingkat – Air Selangor

Bekalan air bersih mula disalurkan secara berperingkat – Air Selangor

BEKALAN air terawat yang bersih mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula jam 2 petang, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berkata gangguan bekalan air itu dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, Selasa.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Air Selangor berkata, bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut telah direkodkan di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi, dan LRA tersebut mula beroperasi semula pada jam 2.30 petang tadi.

Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan operasi pembersihan dan rawatan air perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna.

Sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi, semalam.

Gangguan bekalan air tidak berjadual itu berikutan tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Elite berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. – Malaysiapost

Komen