Larry Sng angkuh, tak matang urus PBM – Zuraida

Larry Sng angkuh, tak matang urus PBM – Zuraida

BEKAS Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng, bersikap tidak matang, angkuh, dan gagal berfikir rasional dalam menguruskan parti.

Zuraida yang digantung keahlian pada Oktober lalu turut mendakwa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan Larry kerana dilihat dangkal selepas sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, Presiden PBM sepatutnya berbincang dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan ataupun membuat keputusan tertentu.

“Ini termasuk tindakan beliau yang sebelum ini telah mengugut pemimpin-pemimpin lain dengan menggunakan kuasanya untuk menandatangani watikah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zuraida, perkara itu berlaku setelah beliau dan pasukan membangunkan PBM dari awal penubuhannya dengan penambahan kekuatan daripada ahli badan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara.

“Ia dengan perjanjian bahawa tampuk tertinggi parti diserahkan kepada saya serta-merta berikutan pengumuman saya menyertai parti ini.

“Perkara itu juga telah diabsahkan melalui usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat nasional.

“Tetapi setelah PRU15 berlangsung, Larry seolah-olah memungkiri janji, malah bertindak tanpa segan silu membelakangi kehendak majoriti ahli PBM dan telah menyalahgunakan jawatannya untuk kekal berkuasa,” katanya.

Semalam, Larry dilaporkan berkata, beliau sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) PBM, selepas mereka gagal hadir mesyuarat MT minggu lalu.

Mereka diberi tempoh untuk menjawab surat itu dalam tempoh tujuh hari, sehingga Isnin ini.

Katanya, jika gagal berbuat demikian, mereka akan disingkirkan daripada PBM.

Pada 28 Oktober lalu, Larry mengumumkan menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli MT PBM susulan pembabitan berterusan mereka yang didakwa menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, beliau menyerahkan isu berkenaan kepada ahli PBM dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, beliau akan meneruskan khidmat dalam memperkasa agenda membina negara melalui kapasiti sedia ada di peringkat global, tempatan dan dalam komuniti.

“Gerak kerja dan aspirasi saya untuk membawa agenda progresif bagi rakyat Malaysia ini juga akan saya teruskan dan dilaksanakan melalui pelbagai platform khususnya melalui Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara, yang kini bersama gagasan besar Muafakat Nasional (MN),” katanya. – Malaysiapost

Komen