LRA Sungai Semenyih beroperasi semula

LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kembali beroperasi semula selepas bacaan pencemaran bau merekodkan bacaan sifar ton sebanyak tiga kali berturut-turut, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pengoperasian semula itu membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang mengambil masa kira-kira 12 jam.

“Selepas proses pembersihan dan rawatan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, dua LRA iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Elite berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Insiden berkenaan menyebabkan pengguna di 472 kawasan sekitar Selangor dan Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost

Komen