Nur Jazlan terpaksa tumpang populariti orang lain asalkan ‘tidak mati’ – Sahruddin

Nur Jazlan terpaksa tumpang populariti orang lain asalkan ‘tidak mati’ – Sahruddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata tindakan Datuk Nur Jazlan Mohamed mempertahankan jajaran baharu gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana sedar karier politiknya sedang menuju kehancuran.

Beliau berkata, Timbalan Pengerusi Umno Johor itu terpaksa berpaut kepada populariti PN terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin asalkan masih mendapat perhatian umum.

“Inilah Nur Jazlan yang meroyan kerana gagal untuk buat ‘comeback’ ketika PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)

“Mana ada ‘muka’ dua kali kalah dengan orang yang sama dengan majoriti yang besar kemudian terpaksa akur dengan keputusan bos beliau untuk melakukan jajaran baharu ‘cikgu – murid’ dan akhirnya ‘duduk bersanding’ atas satu pelaminan bersama seteru atau lawan di Pulai.

“Kalau tengok kepada keputusan PRU14 dan PRU15, cukup membuktikan Nur Jazlan tiada fungsi di Pulai, sehingga mengakibatkan beliau kalah teruk kerana ditolak oleh pengundi.

“Tetapi, mujurlah BN berjaya menambah satu kerusi di Johor pada pilihan raya umum lalu, jika dibandingkan dengan PRU14,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sahruddin berkata, apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri buat kali kedua maka Nur Jazlan menghidu peluang dan laba seterusnya perlu ‘berbunyi’ untuk dilihat kekal relevan.

Katanya, melihat kepada kerjasama Ahmad Zahid dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan, Nur Jazlan mungkin mendambakan jawatan Senator atau Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah.

Ujar beliau, sejak dari awal Nur Jazlan diberikan jawatan bukan melalui merit sebaliknya mungkin kerana ihsan.

“Kerana apa, beliau langsung tiada kualiti seorang pemimpin di dalam parti mahupun barisan kerajaan.

“Beliau antara sosok yang telah menjadikan Umno dilihat sebagai ‘parti sampah’ dan bukannya progresif. Tiada ketokohan sebaliknya ‘fragile’ sehingga sanggup menerima dengan terbuka rakan jajaran baharu meskipun sebelum PRU15, bermati-matian menyerang sekutu mereka,” katanya.

Rabu lalu, Perdana Menteri memaklumkan pelantikan semula Nur Jazlan sebagai Pengerusi Felcra yang diumumkan oleh Ahmad Zahid sebelum ini, ditangguhkan.

Katanya, pelantikan semula itu sememangnya sudah dimaklumkan sebelum ini, namun wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – Malaysiapost

Komen