Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang

SEORANG penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Seremban-Tampin dekat Sungai Gadut, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Ikram Mohd. Yazid, 21, beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pembonceng motosikal, Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Seri Kembangan, pula mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, nahas berlaku pukul 12.30 pagi dan mangsa dari arah Senawang menuju ke Rembau.

“Tiba di tempat kejadian terdapat sebatang pokok yang berada di kiri bahu jalan telah tumbang lalu menghempap motosikal yang sedang bergerak.

“Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi bedah siasat.

“Pembonceng motosikal pula dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Nanda berkata, siasatan awal mendapati keadaan jalan raya gelap tanpa lampu jalan dan cuaca baik pada waktu tengah malam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost

Foto Ihsan Polis

Komen