Rafizi gagal beri solusi baharu bendung kenaikan harga makanan – Khairil Nizam

Rafizi gagal beri solusi baharu bendung kenaikan harga makanan – Khairil Nizam

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli masih gagal memberi solusi baharu dan konkrit bagi membendung kenaikan harga barang makanan, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

Malah, katanya, Rafizi juga gagal mengemukakan faktor sebenar kenaikan harga barang makanan sama ada tiada bekalan, kenaikan kos atau pun peningkatan permintaan.

“Rafizi tidak menyentuh secara keseluruhan langkah-langkah drastik mengurangkan konsistensi kadar inflasi subsektor makanan dan minuman bukan alkohol yang menjadi sebahagian besar atau 30 peratus daripada perbelanjaan isi rumah.

“Harga barang makanan tidak rasional dan memerlukan intervensi serta penguatkuasaan lebih kuat oleh kerajaan. Bukan hanya menyuruh rakyat kurang makan ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media Jumaat lalu, Rafizi meminta pengguna memainkan peranan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Beliau dipetik berkata, seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Menurut Khairil Nizam, walaupun sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memaklumkan mekanisme subsidi bersasar, namun ia masih belum dilaksanakan.

Berhubung isu kenaikan harga telur dan ayam, beliau menjelaskan kemungkinan ia disebabkan penternak yang mengalami masalah kenaikan kos pengeluaran dan aliran modal.

“Ia juga mungkin disebabkan monopoli dan manipulasi bekalan, yang mana perkara ini tidak disentuh dengan terperinci dalam kenyataan kelmarin.

“Malah, langkah mengimport telur tidak menyelesaikan masalah tuntas kerana harga telur import lebih mahal daripada telur gred A tempatan,” katanya.

Dengan mengimport telur, katanya, masalah bekalan mungkin selesai tetapi kenaikan harga yang ditanggung rakyat dan isu monopoli tetap tidak terjawab. – Malaysiapost

Komen