Reen Rahim sah bergelar isteri ahli perniagaan

Reen Rahim sah bergelar isteri ahli perniagaan

PELAKON Reen Rahim selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin dengan sekali lafaz pada majlis yang berlangsung di Boraombak Marina, Putrajaya, malam tadi.

Dalam majlis yang berlangsung pukul 9.30 malam tersebut, Reen dan ahli perniagaan berusia 28 tahun itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Abdul Rahim Abd Kadir di hadapan Pendaftar Nikah Putrajaya, Hafizan Ibrahim.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 34, menerima mas kahwin RM1,988 berserta sedulang barang kemas.

Beliau turut menerima lima dulang hantaran yang berbalas tujuh dulang kepada pihak lelaki.

Memilih busana sedondon putih pada hari bahagia mereka, majlis akad nikah berlatarkan rona suci tersebut diserikan kehadiran 400 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak dan teman terdekat mempelai.

Pasangan tersebut memaklumkan telah berkenalan sejak dua tahun lalu sebelum mengambil kata sepakat menjalin pertunangan pada 12 Ogos lalu.

Reen mendedahkan perkahwinan mereka mendapat tajaan bernilai RM15 juta dalam pelbagai bentuk.

Sebelum majlis pernikahan, semalam Reen terlebih dahulu diraikan dalam majlis berinai bertemakan Bollywood di Hulu Langat, manakala majlis resepsi pula berlangsung hari ini di sebuah dewan perkahwinan di Cheras. – Malaysiapost

Komen