‘Scammer’ masukkan nombor telefon Fahmi dalam grup WhatsApp

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa nombor telefon peribadinya telah disalahgunakan oleh pihak ‘scammer’ menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau menerusi ciapan di Twitter, memaklumkan ‘scammer’ tersebut telah memasukkan nombor telefon peribadinya dalam sebuah grup WhatsApp tanpa kebenaran beliau.

Bagaimanapun, Fahmi berkata beliau dikeluarkan daripada grup berkenaan selepas memaklumkan telah menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan salah laku itu.

“Scammer masukkan saya dalam group WhatsApp scam.

“Bila saya kata dah alert PDRM & SKMM, saya kena kick (dibuang),” tulisnya di hantaran itu, hari ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengingatkan orang ramai yang menjadi mangsa ‘scammer’ agar segera menghubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan ditalian 997.

“Jika anda mangsa scam, sila segera call (telefon) 997,” katanya. – Malaysiapost

Komen