‘Sudah empat minggu, kos sara hidup masih terus naik’ – Wan Saiful

‘Sudah empat minggu, kos sara hidup masih terus naik’ – Wan Saiful

TEMPOH dua minggu yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kementerian yang terbabit dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup masih belum dapat mengatasi masalah berkenaan, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu, berkata Perdana Menteri pada 27 November lalu memberikan masa dua minggu namun kini masalah kos sara hidup masih belum diselesaikan.

“Hari ini sudah empat minggu. Kos sara hidup masih terus naik. Telur masih tak ada. Harga makanan harian makin naik. Tapi tidak ada satu pun langkah konkrit yang kerajaan telah mulakan.

“Nampaknya janji dua minggu ini sama macam janji harga minyak turun dalam 24 jam. Sampai hari ini belum habis “mencerakinkan” solusi.

“Tersengih bertutur bahasa berbunga-bunga untuk tunjuk hebat, tapi hanya wayang untuk menutup kelemahan tak tahu nak buat apa untuk rakyat.,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Wan Saiful berkata, situasi itu membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai idea untuk menyelesaikan masalah yang membebani rakyat.

“Ini adalah kerajaan menyelamatkan diri sendiri dan memenuhi cita-cita peribadi, sebab itu PH-BN tiada idea bagaimana menyelamatkan rakyat.

“Fokus PH-BN ialah kepada perebutan jawatan, perlantikan GLC, dan berlakon wayang sahaja. Nasib rakyat bukan agenda utama PH-BN,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.

Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang dibentangkan kepada kabinet baharunya. – Malaysiapost

Komen