Tanah runtuh : Misi pencarian mangsa terakhir paling sukar – JBPM

Tanah runtuh : Misi pencarian mangsa terakhir paling sukar – JBPM

PASUKAN bomba mengakui berdepan cabaran paling sukar dalam misi mencari mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Gohtong yang akhirnya berjaya ditemui, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata walaupun kelelahan selepas sembilan hari bertungkus lumus melakukan pencarian, namun pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedaya upaya bertahan supaya mangsa dapat ditemui.

Beliau berkata, lokasi mayat mangsa ditemui itu sudah kerap dibuat pencarian dan anggota SAR juga selalu berulang alik di situ, namun usaha mereka tidak berjaya sehinggalah semalam.

“Ini adalah misi paling sukar namun kami tetap teruskan. Daripada semalam (kelmarin), kita tidak mendapat perkhabaran langsung berkenaan mangsa terakhir ini.

“Sebenarnya kita pun berada dalam keadaan yang gelisah dan ada rasa sudah putus asa sebenarnya.

“Cuma kita bersyukur, tawakal kepada Allah dan juga sahabat kita yang mendoakan usaha kita ini, mungkin makbul doa mereka, maka kita dapat jumpa mangsa pada hari ini (semalam).

“Sedangkan tempat itu sudah dilalui berulang kali oleh pasukan SAR, mereka sudah acap kali lalu di situ tetapi tak pernah jumpa (mangsa) mungkin sebenarnya pada hari ini (semalam), nak ditunjukkan, kita berjumpa dengan mayat mangsa yang terakhir ini,” katanya Berita Harian.

Hafisham berkata, ada perkara yang tidak dapat dijelaskan secara mata kasar mengenai kesulitan dihadapi pasukan SAR ketika melakukan pencarian mangsa.

“Yang sukar ini, mungkin mangsa terlindung, mungkin kita tidak sedar, ada satu perkara yang kita tidak dapat jelaskan .. sebab bukan kita tidak guna Unit K9 (anjing pengesan) itu pun tidak berjaya sedangkan mereka ada deria bau lebih baik daripada kita,” katanya yang turut memaklumkan 80 peratus penggalian sudah dibuat di semua sektor A, B, C dan D.

Hafisham berkata, keputusan bagi pencarian dalam operasi SAR pada hari kesembilan, semalam difokuskan di Sektor A adalah hasil maklumat yang dikongsi antara agensi yang terbabit dalam operasi itu.

“Kita dapat maklumat yang kanak-kanak ini (datang) bersama-sama ayah dan kakak. Mayat ayah dan kakaknya sudah kita temui pada hari pertama (Jumaat) di Sektor A.

“Justeru mangsa juga mungkin berada di situ, tak mungkin dia berada di khemah lain, atau di sektor lain.. itulah yang meyakinkan kita bahawa dia berada di situ (Sektor A)

“Tetapi sekiranya kita tidak jumpa dia di Sektor A, kita sebenarnya sudah putus asa, tak tahu ke mana lagi kita nak mencari,” katanya.

Mengulas hari pertama kejadian itu, Hafisham mengakui beliau terkejut apabila pada awalnya dimaklumkan terdapat kira-kira 100 mangsa terbabit dalam insiden itu.

“Apa yang mengejutkan kita pada waktu itu adalah disebabkan terlalu ramai mangsa yang pada mulanya dikatakan dianggarkan kira-kira 100 orang.

“Apabila saya dengar 100 mangsa ini, ia menyeramkan dan menakutkan.. sebab jumlah (mangsa) yang banyak. Malaysia akan terkejut dengan jumlah mangsa yang ramai,” katanya.

Katanya, sebaik pasukan bomba menerima aduan kejadian itu pada jam 2.24 pagi, pasukan pertama memberi respons bantuan adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama Ketua Zon 6 JBPM Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Ahmadi Muhamad Hasan yang tiba di tempat kejadian pada jam 3.04 pagi.

“Mereka terus berada di sini sejurus menerima laporan untuk operasi SAR dan alhamdulillah kita dapat menyelamatkan 61 mangsa yang cedera dan terselamat.

“Maka tinggallah baki mangsa yang masih hilang sehinggalah jumlah sebenar mangsa dirumuskan kepada 31 orang daripada 92 keseluruhan mangsa,” katanya.

Semalam, mayat mangsa ke-31 dan terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, ditemui dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah pada jam 4.53 petang oleh pasukan SAR.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat mangsa terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).

Difahamkan, mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota. – Malaysiapost

Komen