Tanah runtuh: Misi SAR ditutup 12 tengah hari ini

Tanah runtuh: Misi SAR ditutup 12 tengah hari ini

MISI mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali, ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, selepas mendapati tiada lagi mangsa tragedi hilang atau belum ditemui.

Menurutnya, ia selaras Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, beliau berkata, kerja teknikal di lokasi tanah runtuh itu akan diteruskan beberapa agensi berkaitan, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Terima kasih kepada semua agensi terbabit, termasuk rakan media yang bertungkus-lumus sepanjang misi SAR ini. Saya sangat menghargai setiap pengorbanan dan kerjasama anda.

“Inilah satu-satunya operasi yang setiap agensi memainkan peranan sesuai Arahan 20 MKN dan tiada pertindanan tugas sepanjang misi, sekali gus menjadi rujukan bagi apa-apa kerjasama pengurusan bencana yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dipetik Berita Harian.

Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui semalam.

Kanak-kanak itu ditemui pasukan SAR di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian pada jam 4.53 petang semalam.

Berdasarkan maklumat, 19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hill View), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sektor B (Farm View).

Sementara itu, Acryl Sani mengakui faktor cuaca menjadi satu-satunya cabaran dihadapi petugas misi SAR berkenaan, menyebabkan petugas berdepan risiko tinggi ketika bertugas.

“Berdasarkan statistik, kita gunakan hampir 12 jentera berat daripada pihak swasta dan pelbagai agensi. Tuah masih di pihak kita.

“Terima kasih juga kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang teruja membantu, tetapi kali ini kami tidak dapat gunakan khidmat anda kerana risiko di lokasi kejadian, selain tidak mahu pihak tidak berkelengkapan atau berkemahiran menyertai misi ini,” katanya.

Jumaat lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan senarai 30 mangsa, termasuk 12 kanak-kanak, masing-masing enam perempuan berusia satu hingga 12 tahun yang maut akibat kejadian tanah runtuh, sekitar jam 2.30 pagi, 16 Disember lalu. – Malaysiapost

Komen