Biar Miki hantar surat rayuan dulu – Ahmad Samsuri

Biar Miki hantar surat rayuan dulu – Ahmad Samsuri

BERLAKU salah faham berhubung dakwaan pemotongan gaji Faisal Abdul Halim, dakwa Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu berkata, satu jalan penyelesaian aman perlu dilakukan antara pihaknya dengan bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu sekali gus menamatkan isu berkenaan.

“Kesahihan dakwaan itu saya tidak mahu jawab kepada media, biar dia (Faisal) hantar surat (rayuan) rasmi dahulu untuk pihak pengurusan mengambil tindakan berikutnya.

“Ada perkara yang tidak patut berlaku tetapi pemain itu melakukannya. Jadi ada tindakan pada peringkat awal. Namun masih ada ruang perbincangan dan Faisal boleh hantar surat rayuan.

“Dia pun tahu perkara ini. Kami mahu selesaikan secara baik dan akan tunggu komunikasi atau surat daripada pihak pemain itu dulu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata kepada media selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PBSNT 2022 di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Faisal atau mesra dipanggil Miki sedang bersama skuad kebangsaan dalam Piala AFF, mendakwa gaji bulan terakhirnya telah dipotong 15 peratus oleh TFC tanpa sebab kukuh.

Difahamkan, pemotongan itu berpunca daripada tindakan pemain berkenaan yang membuat kenyataan media tanpa kebenaran pasukan ketika kempen Liga Malaysia berlangsung. – Malaysiapost

Komen