Jasad mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang kali sudah diserah kepada waris

Jasad mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang kali sudah diserah kepada waris

MANGSA terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali yang ditemui dikenalpasti sebagai Eng Shao Qi, berusia 11 tahun.

Kanak-kanak lelaki terbabit ditemui berhampiran lokasi mayat bapa dan kakak yang sudah ditemui lebih awal oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Bapanya Eng Choon Wen, 43, dan kakaknya Eng Huai Yi, berusia 12 tahun ditemui pada hari pertama kejadian pada 16 Disember lalu.

Penemuan mangsa terakhir itu pada jam 4.53 petang Sabtu lalu sekaligus menamatkan operasi SAR dengan kesemua 92 mangsa ditemui membabitkan 61 mangsa terselamat dan 31 mangsa lagi maut.

Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan senarai penuh mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting Highlands – Batang Kali yang berlaku pada jam 2.42 pagi 16 Disember lalu.

NADMA dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua 31 mayat yang telah ditemui sudah diserahkan kepada waris untuk tindakan lanjut.

Senarai penuh mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting Highlands – Batang Kali

“Proses bedah siasat untuk semua mayat telah selesai dijalankan, dikenalpasti, dan diserahkan kepada waris oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

“Proses mengenalpasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi empat kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, gigi dan pengecaman pihak waris pada barangan peribadi serta tanda pada badan mangsa,” katanya. – Malaysiapost

Komen