Khairuddin janji dedah punca Tun M tinggalkan Pejuang

Khairuddin janji dedah punca Tun M tinggalkan Pejuang

BEKAS Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, mendakwa mempunyai bukti jelas mengenai gerakan pengkhianatan terhadap bekas Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, perkara itu akan didedahkan apabila tiba masa yang sesuai termasuk punca sebenar Dr Mahathir letak jawatan.

Khairuddin berkata, pengkhianat yang disifatkannya sebagai pemimpin ‘munafik politik’ yang hanya bermuka-muka dihadapan Pengerusi Pejuang sebelum ini.

“Seungguhnya, tekak saya amat meloya dan mual bila mendengar salah seorang dari pemimpin ‘munafiq politik’ dan pengkhianat dalam parti Pejuang masih memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘ayahanda Tun!’

“Mereka ini adalah golongan ‘munafiq politik’ dan pengkhianat yang hanya ‘bermuka-muka’ dengan Dr Mahathir selama ini. Dalam mesyuarat di hadapan Tun puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini akan mengangguk kepala bersetuju terhadap apa saja yang diperkatakan oleh mantan Pengerusi Pejuang.

“Tetapi di belakang Tun golongan ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini akan ‘tikam’ beliau dari belakang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, selama dilantik sebagai ahli mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat (MEP) saya senantiasa bercakap secara tertib serta professional dalam mesyuarat mahupun persidangan.

“Namun, apakah saya perlu serta harus bercakap dengan nada yang tertib lagi pada golongan ‘munafiq politik’ dan pengkhianat terhadap Dr Mahathir?

“Apakah puak ‘hipokrit kelas pertama’ ini ‘deserve’ layanan secara tertib apabila mereka sanggup mengkhianati wadah perjuangan Dr Mahathir?” katanya.

Khairuddin tanpa menamakan sesiapa menegaskan beliau sudah hilang hormat pada puak ‘hipoktit kelas pertama’ berkenaan dan ingin melihat sandiwara mereka terlebih dahulu.

“Bila tiba masa yang amat sesuai dalam sedikit masa lagi biar saya pula cerita secara hakikat dan hakiki mengapa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang.

“Cukup-cukuplah untuk terus berlakon serta bersikap hipokrit. Puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini harus dilawan secara habis-habisan di atas setiap pengkhianatan mereka terhadap Dr Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keseorangan prinsip perjuangannya hanyalah untuk memperhambakan diri buat Dr Mahathir Mohamad dulu, kini dan selamanya serta terus membela wadah perjuangan mulia tokoh negarawan terulung itu.

“Walaupun saya ‘orang luar’ dan bukan ‘darah daging’ Dr Mahathir, saya dapat menyelami semangat beliau secara mendalam untuk terus berjuang demi bangsa, negara dan agama,” katanya. – Malaysiapost

Komen