Lagi 38 rumah ranap dibadai ombak

Lagi 38 rumah ranap dibadai ombak

SEBANYAK 38 rumah lagi ranap dibadai ombak akibat fenomena air laut pasang besar di Kampung Forest, Sandakan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pertambahan itu menjadikan keseluruhan 108 rumah roboh selepas 70 rumah roboh dan musnah, semalam.

“Jumlah mangsa di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Anib Dua turut meningkat kepada 684 orang,” katanya dalam sidang media, dipetik Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, fenomena laut pasang besar dijangka masih berlaku, malam ini dan penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada.

Rumah penduduk yang ranap dibadai ombak akibat fenomena air laut pasang besar di Kampung Forest

“Susulan itu, kita menasihatkan penduduk Kampung Forest dan penduduk kampung pesisir laut di Sandakan agar berpindah ke tempat selamat lebih awal,” katanya.

Abdul Fuad berkata, pasukan keselamatan bersama agensi penyelamat lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan kekal melakukan tinjauan di kampung terbabit.

“Untuk di kawasan ini sahaja ada 11 pegawai dan 96 anggota.

“Tidak termasuk petugas harian yang mana contohnya petang ini dalam 70 anggota dikerahkan untuk pergi ke kawasan yang ditetapkan dari segi untuk pemantauan dan juga menasihat penduduk untuk berpindah lebih awal lagi,” katanya. -Malaysiapost

Komen