Lebih 130 rumah di Kampung Forest, Sandakan musnah dilanda ombak besar

Lebih 130 rumah di Kampung Forest, Sandakan musnah dilanda ombak besar

LEBIH 130 buah rumah di Kampung Forest, Sandakan, musnah dilanda ombak susulan air pasang besar yang berlaku Jumaat lalu.

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menerusi hantaran di Facebook, berkata ratusan penduduk termasuk anak kecil kehilangan tempat tinggal berikutan kediaman mereka dilanda ombak kuat setinggi lebih 2.8 meter (m).

Katanya, semua mangsa kehilangan harta benda termasuk bot yang digunakan sebagai mata pencarian mereka.

“Doakan buat saudara kita kampung Forest Sandakan. Lebih 130 buah rumah musnah. Mereka kehilangan rumah tempat berteduh, pakaian, dapur tempat masak, bot mencari rezeki dan semua barang lain. Habis semuanya,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.

Dalam hantaran itu juga Ebit memuat naik beberapa gambar memaparkan keadaan rumah penduduk di kampung itu yang musnah teruk.

Terdahulu, media melaporkan tiga daerah terjejas akibat bencana banjir dan air pasang besar di Sabah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan Luruan Kedua Monsun dijangka berterusan sehingga 27 Disember ini. – Malaysiapost

Komen