Masalah brek punca perkhidmatan kereta api Bukit Bendera tergendala

Masalah brek punca perkhidmatan kereta api Bukit Bendera tergendala

PERBADANAN Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan perkhidmatan kereta api funikular di tempat peranginan itu yang tergendala hampir tiga jam semalam adalah disebabkan oleh kebocoran pada hos brek trek.

Sehubungan itu, PBBPP menerusi kenyataan di Facebook memohon maaf kepada ratusan pengunjung yang terkandas, pada petang semalam.

Pihak PBBPP menyatakan kekesalannya selepas perkhidmatan funikular di Bukit Bendera mengalami gangguan pada jam 4 petang.

“Pasukan penyelenggaraan PBBPP memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut sebelum menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.

“Kejadian berlaku pada jam 4 petang tadi (Ahad) namun perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada jam 6.45 petang,” menurut kenyataan itu.

PBBPP berkata, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang pantas menghulurkan bantuan kepada pengunjung ketika kejadian tersebut.

“Terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran mereka terhadap gangguan perkhidmatan.

“PBBPP juga amat menghargai usaha Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menyediakan perkhidmatan jip, perkhidmatan bas dan polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan yang berlaku tadi.

“PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Kita amat menghargai kefahaman dan sokongan penduduk serta pengusaha perniagaan,” katanya.

Tegas PBBPP, pihaknya amat menitikberatkan dan mengutamakan perkhidmatan funikular dan keselamatan penumpang.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai rungutan penumpang yang mendakwa terkandas lebih tiga hingga enam jam bagi menaiki kereta api funikular berkenaan.

Perkhidmatan funikular Bukit Bendera pernah beberapa kali mengalami gangguan sebelum ini sehingga menyebabkan ratusan pengunjung terkandas di pusat peranginan tersebut.

Masalah itu bagaimanapun telah ditangani segera oleh PBBPP dan perkhidmatan funikular tersebut kembali beroperasi seperti biasa. – Malaysiapost

Komen