MPAJ batal lesen premis tular tikus ‘jamah’ ayam goreng

MPAJ batal lesen premis tular tikus ‘jamah’ ayam goreng

MAJLIS Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) serta-merta kepada sebuah restoran yang tular dengan kejadian seekor tikus memakan ayam goreng jualan premis berkenaan.

Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim, berkata tindakan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada Sabtu lalu.

Katanya, tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dijalankan sekiranya premis masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan.

“Permohonan lesen baru hanya akan dipertimbangkan sekiranya semua syarat terutamanya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, berdasarkan rekod pemeriksaan lalu, penarafan kebersihan premis tersebut adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru adalah pada Januari 2022.

Ujar beliau, MPAJ sentiasa memantau kawalan kebersihan setiap premis makanan bagi memastikan syarat-syarat dan peraturan-peraturan sentiasa dipatuhi.

Semalam, KKM mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur, ditutup 14 hari selepas tular video menunjukkan seekor tikus ‘menjamah ayam’ goreng di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam aspek penyediaan makanan bersih dan selamat.

Sebelum ini, KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng di sebuah restoran.

Video tular itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, mendakwa ia berlaku ketika sedang makan di restoran berkenaan. – Malaysiapost

Komen