PASFA ternak kerbau dari Australia

PASFA ternak kerbau dari Australia

Ben Ibrahim

PERTUBUHAN Peladang Negeri Pahang (PASFA) melalui anak syarikatnya, Peladang Eksklusif Sdn Bhd akan memulakan projek ternakan kerbau secara berperingkat mulai tahun ini.

Kerbau dari Australia seberat antara 700 hingga 800 kilogram (kg) seekor itu dijangka memberi sumber pendapatan tambahan kepada PASFA dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi PASFA, Datuk Zamri Yaakob berkata, kerbau terbabit bakal diternak di ladang persatuan itu yang terletak di Muadzam Shah, dekat Rompin.

“Ketika ini hampir 95 peratus hasil pendapatan PASFA adalah dari ladang kelapa sawit.

“Jadi untuk perancangan jangka panjang, kami lihat sektor penternakan mempunyai potensi tinggi untuk menjana pendapatan.

“Kita akan membawa masuk 120 ekor kerbau Australia mulai tahun depan dan jumlah keseluruhan (tempahan) dibuat sebanyak 610 ekor kerbau akan dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Zamri berkata, melalui projek ternakan kerbau itu, PASFA dijangka boleh menjana keuntungan sehingga RM800,000.

Katanya, seekor kerbau baka dari Australia mampu menghasilkan daging sehingga 1,000 kg.

“Kita harap usaha ini bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan PASFA, tapi turut dapat menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan agenda memperkukuhkan aspek sekuriti makanan negara dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya. – Malaysiapost

Komen