PAU Khas akan pinda 2 fasal Perlembagaan Umno

PAU Khas akan pinda 2 fasal Perlembagaan Umno

DUA fasal Perlembagaan Umno akan dipinda pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan pada 11 hingga 14 Januari depan. 

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan dua fasal Perlembagaan itu membabitkan pengguguran keahlian serta pertambahan perwakilan dalam PAU. 

Katanya, pindaan dua fasal Perlembagaan parti itu akan dibentangkan Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam PAU Khas pada 13 Januari, yang dijadualkan bermula kira-kira 11.30 pagi selepas selesai ucapan dasar Presiden parti. 

“Perkara yang nak dipinda dalam Perlembagaan UMNO bulan depan adalah ke atas Fasal 20.11. Ia menyebut seseorang ahli parti yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan, sama ada pada pilihan raya negeri atau Parlimen,  akan tergugur keahlian secara automatik. 

“Pindaan fasal berkenaan adalah untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya kepada media Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian berkata, 

Umno juga akan meminda Fasal 8.4 supaya ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun.

“Oleh itu, perwakilan akan bertambah seramai 191 orang masing-masing ke PAU, serta PAU membabitkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri,” katanya. 

Sebelum ini hanya tujuh individu dari setiap bahagian parti yang secara automatik menjadi perwakilan pada PAU. 

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, sebelum ini perwakilan hanya melibatkan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri selain Setiausaha Bahagian.

“Namun dengan pindaan Perlembagaan ini nanti, seramai lapan individu termasuk Ketua Penerangan bahagian dan sayap dari setiap bahagian layak secara automatik ke PAU berbanding perlu diundi sebelum ini. 

“Rasional untuk mereka (ketua penerangan) menjadi perwakilan supaya dapat membawa mesej dan mengepalai mesej utama yang disampaikan pimpinan-pimpinan parti utama kepada bahagian dan peringkat sayap,” katanya. -Malaysiapost

Komen