Pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno belum diputuskan – Ahmad Maslan

Pertandingan jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno belum diputuskan – Ahmad Maslan

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijangka akan memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu akan dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang, dalam satu mesyuarat khas.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata setakat ini tiada sebarang ketetapan mengenai perkara itu dibuat sehingga hari ini.

Katanya, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) berlansung iaitu pada 12 Januari nanti.

“Perkara itu (sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan) kita perlu tunggu. Setakat ini, tidak sebarang keputusan mengenainya dibuat.

“Namun saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, kerana kita masih ada masa sebelum PAU diadakan bulan depan.

“Kita tunggulah, Januari nanti MKT Umno ada mesyuarat bulanan seperti biasa dan satu lagi kita ada Mesyuarat Khas MKT yang secara tradisinya akan diadakan pada malam sebelum PAU diadakan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, Pontian hari ini.

Semalam, Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata Umno akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.

Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Katanya, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, Umno akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan. – Malaysiapost

Komen