“Saya akan terus membunuh bola sepak Malaysia” – TMJ

“Saya akan terus membunuh bola sepak Malaysia” – TMJ

PEMILIK pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau akan terus ‘membunuh’ arena bola sepak negara.

Beliau juga berjanji akan terus membeli pemain-pemain hebat dalam negara dan hanya akan melepaskan mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sahaja.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilihat berbuat demikian bagi membuktikan langkah yang diambilnya telah membuahkan hasil.

“Well done boys. Ramai yang menyalak setiap tahun. 10 tahun masih tak belajar dan tak boleh terima kejayaan kami.”

“Tetapi hanya segelintir sahaja yang bermain ‘bunga api’ setiap tahun. Betapa untungnya keluarga JDT. Setiap tahun ada perkembangan, setiap tahun Allah kurniakan kejayaan,” katanya di laman Instagram.

Beliau berkata apa yang penting adalah sentiasa ada perkembangan dan pemain tidak kena ‘scam’ dengan pemimpin pasukan masing-masing.

“Piala AFF ada yang tak berakal bising, agaknya dia lupa Malaysia layak Piala Asia pemain JDT yang berhempas pulas.”

“Oleh yang demikian, sama macam kenyataan saya dahulu, saya akan terus membunuh bola sepak Malaysia.

“Hari ini saya berjanji akan terus beli pemain-pemain hebat dalam negara dan hanya lepaskan mereka untuk sertai pasukan kebangsaan dalam kalendar FIFA sahaja,” katanya.

Malaysia menunjukkan prestasi meyakinkan dalam kempen Piala AFF ketika ini, apabila anak-anak buah Kim Pan-gon berjaya mencatat dua kemenangan dalam dua aksi Kumpulan B sekaligus berpeluang untuk mara ke separuh akhir.

Skuad Harimau Malaya itu dianggotai ramai muka baharu dengan hanya seorang pemain JDT iaitu Safawi Rasid.

Tonggak JDT lain tidak menyertai kejohanan kali ini kerana tidak mendapat pelepasan kelab ekoran aksi Piala AFF dilangsungkan di luar kalendar FIFA. – Malaysiapost

Komen