Tak perlu ubah kedudukan Presiden Umno – Penganalisis politik

Tak perlu ubah kedudukan Presiden Umno – Penganalisis politik

UMNO perlu melakukan perubahan besar yang drastik dan dramatik, namun bukan dengan merubah kedudukan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penganalisis Politik dan Ekonomi Bebas Datuk Dr Ramalan Yunus, berkata semenjak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipilih menjadi Presiden, beliau telah berdiri dengan gagah untuk mempertahankan Umno.

Katanya, walaupun diugut dan diancam dengan kes-kes mahkamah yang tidak masuk akal, Ahmad Zahid tetap berdiri kukuh mempertahankan Umno.

“Beliau telah berusaha untuk melakukan pelbagai perubahan selama ini. Dan yang terbaru adalah dengan tidak menyenaraikan beberapa orang ‘warlord’ dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15).

“Juga dengan tidak meletakkan beberapa nama besar dalam barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Dr Ramalan Yunus

Ramalan berkata, perubahan drastik dan dramatik yang telah dilakukan oleh Presiden Umno itu bagaimanapun tidak disenangi oleh kelompok yang selama ini mengkhianati ahli-ahli dan perjuangan parti.

Ujar beliau, akibat daripada perubahan yang dilakukan Ahmad Zahid, kelompok berkenaan sedang melancarkan kempen pemberontakan terhadap Presiden Umno dari dalam parti.

Katanya lagi, kelompok tersebut sedang berusaha untuk menumbangkan Presiden Umno dengan alasan kerana sayangkan parti.

“Soalannya, apa yang telah dilakukan oleh kelompok ini selama ini untuk memperkasakan Umno?

“Bukankah kemerosotan pencapaian Umno-BN (Barisan Nasional) pada PRU-15 adalah berpunca dari kerenah mereka selama ini pasca PRU-14?,” soalnya.

Dalam masa sama, Ramalan berkata ramai dikalangan ahli-ahli Umno sedia maklum punca wujudnya ‘kluster katak lompat’ dalam parti.

Tambahnya, selain itu ramai juga ahli-ahli Umno yang tahu apa yang telah dilakukan oleh ‘kluster menteri’ sebelum ini dalam merosakkan nama baik Presiden Umno selama ini.

Malah, katanya kelompok berkenaan mengetahui siapa ‘mastermind’ yang berada di belakang semua komplot berkenaan.

“Lalu apakah semua itu dilakukan kerana sayangkan parti? Jadi layakkah kelompok ini mendakwa bahawa kempen menumbangkan Presiden Umno adalah sebagai tanda sayangkan parti?

“Cuma orang yang sudah hilang kewarasan sahaja yang akan percaya dengan dakyah kelompok ini,” ujarnya.

Beliau berkata, demikian itu menjadi tanggungjawab seluruh ahli Umno yang setia dengan perjuangan parti untuk bangkit dan mempertahankan Presiden Umno.

“Mempertahankan seorang Presiden yang telah berjuang dan berkorban untuk parti selama ini, itulah tanda sayangkan parti yang sebenarnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Ramalan berkata, tindakan menentang kelompok yang selama ini telah menikam parti dari belakang adalah tanda sebenarnya sayangkan parti.

“Kepada seluruh ahli-ahli Umno, pastikan bahawa barisan kepimpinan Umno Cawangan dan Bahagian anda adalah orang-orang yang menyokong Presiden Umno.

“Itulah bukti bahawa anda semua sayangkan parti dan perjuangan Umno selama ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen