Tragedi tanah runtuh Batang Kali, fokus kini kepada pengurusan pasca bencana – Armizan

Tragedi tanah runtuh Batang Kali, fokus kini kepada pengurusan pasca bencana – Armizan

SELEPAS operasi mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali selesai semalam dengan kesemua 92 mangsa telah ditemui termasuk 31 yang terkorban, usaha kini ditumpukan untuk pengurusan pasca bencana.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata fokus kini adalah termasuk penyaluran bantuan kepada mangsa dan ahli keluarga mangsa yang terbabit.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membantu penyaluran bantuan segera sebaik mendapat data dan maklumat daripada agensi yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh pasukan bantuan SAR daripada pelbagai agensi kerajaan yang bertungkus lumus selama sembilan hari dalam operasi berkenaan.

“Ucapan terima kasih kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor selaku Pengerusi JPBD, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku komander Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan semua yang terbabit dalam aspek pengurusan bencana tanah runtuh ini.

“Selain pasukan tindak balas bantuan pencari dan penyelamat; pasukan teknikal dan logistik; penerangan dan media; badan sukarela dan bukan kerajaan (NGO) serta banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, sungguhpun insiden Batang Kali dalam kategori Tahap 1 yang dikendalikan JPBD Hulu Selangor, namun bantuan dan kerjasama datang daripada pelbagai pihak di peringkat pusat dan negeri termasuk keperihatinan dan pembabitan langsung kepimpinan negara dan negeri.

“Salam takziah buat semua 92 mangsa dan ahli keluarga yang terbabit. Kita bersyukur kerana 61 mangsa berjaya diselamatkan dan amat berdukacita dengan kematian 31 mangsa,” katanya.

Armizan turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus bersiap siaga kerana masih belum keluar sepenuhnya dari tempoh fenomena Monsun Timur Laut.

“Sentiasa peka kepada informasi dan amaran, serta perlu patuhi nasihat agensi berwajib demi keselamatan bersama,” katanya.

Mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali berjaya ditemui hari ini kira-kira pukul 4.53 petang kelmarin.

Mayat mangsa yang ke-31 itu yang juga kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui selepas sembilan hari kejadian tanah runtuh yang berlaku jam 2.42 pagi 16 Disember lalu, sekaligus menamatkan operasi SAR. – Malaysiapost

Komen