1,000 peluang kerja di kilang silika Tanjung Gelang

1,000 peluang kerja di kilang silika Tanjung Gelang

Ben Ibrahim

LEBIH 1,000 peluang pekerjaan bakal dimanfaatkan penduduk setempat dengan pembukaan kilang silika di Tanjung Gelang, Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perancangan membangunkan kilang itu sudah dimulakan syarikat MHT Silica Sdn Bhd (MSSB).

“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) menandatangani perjanjian pajakan tanah seluas kira-kira 600 hektar dengan syarikat terbabit bagi tujuan pembinaan kilang itu.

“Ini adalah satu peluang perniagaan yang sangat baik dengan pulangan dijangkakan antara RM30 juta hingga RM50 juta sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara PKNP dan MSSB di Pejabat PKNP, Kompleks Teruntum, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan MSSB, Khairil Anwar Ghazali berkata, pihaknya sudah mempunyai ‘stockpile’ dan kilang pemprosesan pasir silika di tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Kedah.

“Kami memilih negeri ini sebagai lokasi terbaru kerana Pahang mempunyai sumber mineral silika yang banyak dan berkualiti tinggi menepati standard pelanggan.

“Kos pembinaan kilang dijangka antara RM50 juta hingga RM100 juta dengan nilai pelaburan awal sehingga RM200 juta.

“Pembinaan kilang itu akan dimulakan sebaik saja semua urusan dengan pihak berwajib selesai dan akan dibuat secara berfasa antara satu hingga dua tahun,” katanya.

Katanya, pembukaan kilang itu nanti bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat malah akan menarik lebih banyak pelabur asing ke negeri itu. – Malaysiapost

Komen